Murid-murid SK Pasir Hor amat bertuah kerana dipilih menjadi perintis bagi Program Susu Sekolah 1Malaysia. Program yang dilancarkan pada 24 Julai 2011 ini merupakan pengganti kepada Program Susu Sekolah (PSS) yang telah dihentikan sejak beberapa tahun lalu
Program Susu 1Malaysia yang dinikmati lebih tiga juta pelajar sekolah rendah di 7,685 sekolah rendah kerajaan seluruh negara adalah sebahagian hasrat kerajaan untuk membina generasi baru yang lebih cerdas. Pelaksanaan program di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran itu, bukan setakat memperkenalkan program Susu 1Malaysia malah bermatlamat untuk mewujudkan generasi muda Malaysia yang kuat, sihat dan secara mentalnya lebih dinamik pada masa depan. Ia juga memberi kesan dan manfaat besar sekiranya setiap pelajar sekolah rendah dapat dididik untuk membiasakan diri meminum susu setiap hari.
Dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM4 juta, bekalan susu 1Malaysia diperoleh daripada penternak susu di Sabah. Ini kerana Sabah menjadi pusat pengeluaran susu yang tinggi. Justeru, pada masa yang sama kerajaan telah membantu pengusaha dan penternak di Sabah memperoleh pendapatan lebih tinggi di samping dapat menentukan bahawa anak-anak kita dapat protien dan kalsium yang mencukupi.
Majlis dirasmikan oleh Pn. Hjh Rosnah bt Wan Ibrahim, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan. Turut serta Pn. Hjh. Wan Suraya bt Dato Arifin, Ketua Penolong PengarahSektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Tuan Hj. Ishak b Ismail, Penyelia Pelajaran Kanan Unit HEM dan beberapa orang guru besar dari sekolah berhampiran.
Susu yang dihantar seminggu sekali (diberi 2 kali seminggu) diagih-agihkan kepada semua pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 6 (kecuali murid Pra Sekolah) yang telah mendapat kebenaran bertulis dari ibubapa.
Persembahan dari murid-murid SK Pasir Hor
Melalui program ini, setiap murid menerima dua kotak susu berperisa coklat pada setiap minggu. Diharapkan dengan pelaksanaan Program Susu Sekolah 1Malaysia ini, setiap murid dapat melaksanakan amalan pemakanan yang sihat.